(picked from YB KHALID SAMAD 's blog)
at http://www.khalidsamad.com/2009/08/dap-berkuasa-sepenuhnya-di-selangor.html
Tuesday, August 18, 2009
DAP Berkuasa Sepenuhnya Di Selangor?
Apabila berlakunya peristiwa berhubung pengawalan penjualan arak di Selangor, yang bermula di Shah Alam, tiba-tiba UMNO/BN cuba menonjolkan diri mereka sebagai juara Islam! Pelik bin Ajaib, bukankah mereka yang memerintah selama 52 tahun sebelum naiknya PR? Mungkin mereka terlupa. Melayu UMNO sememangnya mudah lupa.Semasa BN memerintah, penduduk Seksyen 8 Shah Alam sudah pun meminta supaya kedai 7-Eleven di tempat mereka tidak menjual minuman keras. Jawapan UMNO ialah menguncikan Surau Seksyen 8 kerana penduduk Seksyen 8 dianggap ‘melampau’. Walaupun hubungan kedua peristiwa ini tidaklah begitu ‘direct’, tetapi lebih kurang begitulah ceritanya. Kisah ini pun mungkin mereka lupa kerana Melayu UMNO mudah lupa.
Sekarang UMNO yang sama ini ingin mengherdik DAP dan memomokkan rakyat dengan ‘ancaman’ kekuasaan DAP. Ada yang sampai berkata, “tunggulah apabila DAP berkuasa sepenuhnya, mereka akan tunjuk belang mereka dan menindas ummat Islam!” Hmmm, setahu saya, UMNO/BN yang menindas ummat Islam selama ini. Melalui ISAnya. Melalui pemecatan Mufti dan Pegawai Masjid yang tidak akur kepada kehendaknya. Melalui penarikan balik bantuan per kapita kepada sekolah agama rakyat dan sebagainya. Mungkin ini pun mereka lupa juga.
UMNO ingin memomokkan DAP di kalangan orang Melayu, sepertimana memomokkan PAS di kalangan masyarakat Cina dan India. Namun sebenarnya, tidak mungkin DAP berkuasa ‘sepenuhnya’ di Selangor. Walaupun boleh dipertikaikan kenyataan UMNO/BN ini, tetapi cuba kita andaikan sahaja, untuk memuaskan hati mereka. Hakikatnya jika diteliti, DAP tidak mungkin berkuasa ‘sepenuhnya’ di Selangor kerana bagaimana mungkin mereka berkuasa ‘sepenuhnya’ sekiranya mereka hanya bertanding 16 dari 56 kerusi sahaja?
Inilah akibat mengajar Metamatik dalam bahasa Inggeris. Orang UMNO sudah tidak pandai mengira! Kalau ingin berkuasa ‘sepenuhnya’, maka sepatutnya DAP bertanding untuk mendapatkan majoriti 2/3 yang bersamaan dengan 38 kerusi. Barulah mampu berkuasa ‘sepenuhnya’.
Kalau ingin berkuasa dengan majoriti mudah sekalipun, DAP akan memerlukan 29 kerusi. Adakah mungkin memenangi 29 kerusi sekiranya hanya bertanding 16? Atau apakah mungkin orang UMNO anggap kerusi DUN ini boleh beranak-pinak?
Itulah sebabnya kita perlukan ‘Pakatan’. Bukan PAS sahaja, UMNO pun perlukan pakatan dengan MCA dan MIC serta Gerakan. Namun sekarang ini MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi mampu mendapat sokongan bukan Melayu. Oleh itu UMNO membawa mesej Melayu ekstrim kerana mereka menyedari bukan Melayu tidak akan lagi mengundi mereka, walau sekerap manapun Najib berulang ke Batu Caves.
Kasihan melihat gelagat UMNO. Ini tak kena, itu tak kena. Akhirnya, seperti biasa kembali menipu dan memomokkan rakyat dengan ketakutan terhadap DAP dan PAS. Inilah akibatnya apabila sudah kehabisan modal.
Saya sertakan juga disini video selingan dari TGNA yang menjelaskan perjuangan dasar dan mengapa PAS bersama DAP di dalam Pakatan Rakyat, agar dapat dihayati bersama.
WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD
(picked from http://www.khalidsamad.com/2009/08/dap-berkuasa-sepenuhnya-di-selangor.html)